8/6/11

Memori Ramadhan Saya

Bila tiba bulan Ramadhan aku akan teringat kisah di waktu silam. Di waktu aku masih lagi tidak sunat. Di waktu aku masih lagi hingus meleleh.

Tiba bulan Ramadhan mak akan belikan bunga api. Ada tiga jenis selalunya bunga api yang mak beli. Ada yang warna merah kecil, batang besi dan juga yang besar seakan colok Cina.

Seronok rasanya dapat bermain bunga api. Seorang diri pun boleh layan main bunga api. Tapi aku pelik dengan jiran aku pada masa itu. Mereka main mercun. Mak bapak mereka yang belikan. Nampak macam lagi meria.

Pum pam pum pam!

Aku cemburu. Kenapa mak tak belikan aku mercun. Sangat tak mencabar bermain bunga api, walaupun ianya seronok.

"Mak. Anip nak mercun. Anip tengok budak-budak ramai main mercun. Anip pun nak juga"

Aku mengadu ke mak. Malangnya, aduan aku itu tidak berbalas dengan enaknya. Mak tak nak belikan. Dia kata bahaya main mercun.

Aku memang cukup-cukup 'upset'. Kecewa, 'frust' bagai orang putus cinta. Tapi aku memang degil budaknya ketika itu. Aku beli mercun senyap-senyap. Main di rumah jiran. Ada mercun lebah, gasing, padi, mercun bawang pun ada.

Aku gembira. Bagai Ramadhan pada masa itu cukup lengkap bagiku. Dapat bermain mercun ketika itu merupakan satu nikmat syurga.

Tapi selalunya apa orang tua kata selalunya betul. Main mercun itu bahaya. Masa malam raya baju abang aku rosak kena mercun lebah. Mercun lebah terbang tanpa dikawal telah masuk dalam baju abang yang ketika itu sedang memakai baju raya. Akibatnya baju raya rosak, berlubang dan terpaksa pakai untuk Hari Raya keesokan harinya.

Aku insaf, sebab mak dah bising-bising kat telinga aku. Tahun depannya aku berazam tidak membeli mercun. Memang aku tak beli mercun dah selepas kejadian itu. Aku beli kabaid pula. Sekian.

No comments: