Dari jauh dia memandang aku, merenung dengan tajam setiap gerak-geri,percakapan dan perbuatan yang aku lakukan. Aku dapat merasakan yang dia melihat aku dari awal kelibat aku sampai ke kedai makan ini.
Duduknya di sudut luar sebelah pasu bunga. Orangnya ayu,bermata bulat,berkulit putih gebu dan berbibir merah. Rambut yang panjang terurai itu sengaja dia mainkan, mungkin untuk mencari perhatian orang yang sibuk seperti aku. Perempuan sepertinya memang menjadi pilihan hati ini.
Jiwa gelisah dan tidak tenteram bila gerak geri diperhatikan. Setiap langkahku diatur agar tidak sumbang bila perempuan ayu sepertinya memandang aku. Tidak disangka aku yang tidak seberapa tampan ini ada juga orang yang minat. Ahh, senyum simpul.
Aku memulakan langkahku, menuju ke arah gadis yang ayu itu. Sengaja mahu mencuba nasib, kalau langkah kanan bakal menjadi surirumah suatu hari nanti. Tiba-tiba dia melambai tangan memanggil aku, lambaian disertakan dengan lirikan mata yang membiru. Jelingannya bagaikan panahan halilintar bagi setiap jejaka yang melihat.
"Ye cik?" aku bertanya kepada gadis tersebut.
"Movie 127 Hours ada tak bang?" jawabnya manja.
"Eh eh,oohh. Ada, ada" aku hulurkan cd 127 Hours kepadanya dan terus berlalu pergi tanpa mengambil duit.
No comments:
Post a Comment