8/2/10

Adi tidak boleh konvo

Petang itu Adi pulang ke rumah dengan muka gembira. Tarikh konvokasyen sudah keluar. Di Fesbuk ramai rakan-rakannya meletakkan status tentang konvo. Semua gembira hendak konvo. Dapat jumpa rakan-rakan yang lain yang semuanya sudah tamat pengajian.

Adi senyum lebar. Senyum seorang diri. Membayangkan dirinya naik ke pentas dan terima ijazah dari Canselor. Semua orang di dewan akan melihatnya. Perasaan ketika menerima ijazah ketika itu dirasakan lebih dari menerima anugerah Oscar ataupun Nobel. Setakat Azean Irdawati yang melaungkan 'Lihatlah Dunia!' ketika menerima anugerah pun Adi tidak hairan. Adi punya anugerah lagi berbaloi, lebih bes, lebih mantap. Anugerah lain tidak boleh dibuat cari makan, ijazah boleh. Ijazah yang diidamkan selama ini akan menjadi kenyataan.

Pada malam itu Adi belanja rakan-rakan serumahnya makan burger kambing yang dijual depan seven e. Perasaan gembira Adi memang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Rakan-rakan yang lain pun tumpang gembira.

Perancangan sudah terbayang di benak fikiran Adi. Datang seminggu awal ke universiti dan lepak bersama rakan-rakan yang lain. Berborak mengenai kerja dan masa depan. Memang menunjukkan ciri-ciri pemuda intelektual.

Keesokannya Adi membuka komputer ribanya. Adi mahu melihat peraturan, pakaian dan cara-cara ketika hendak konvo di laman sesawang universitinya. Sedang asyik melihat butang-butang yang ada, Adi terpandang pada satu butang 'kehadiran graduan'. Adi klik ruangan itu. Muncul satu ruang untuk diisi nombor kad pengenalan. Adi memasukkan nombor kad pengenalannya. Tekan enter.

Nama Adi tiada dalam senarai graduan.

Adi bagai tidak percaya. Impiannya untuk konvo hancur berkecai. Adi tidak boleh konvo. Pada hari itu muka Adi berubah masam. Lebih masam dari ketiaknya. Air mata mula berjurai-jurai di pipi Adi. Pandangan mata mula kabur, menjadi semakin gelap. Badan menjadi lembik, lemah longlai. Adi pitam.

2 comments:

Lubby said...

relax sudahhhhhh
chill

Anip said...

cerita diatas tiada mengena dengan peredaran semasa.kehkeh