7/28/10

Ali Gila

Mamat kata Ali gila.Bedah pun kata Ali gila. Makcik Eton jiran Ali pun kata Ali gila. Atan, Abu dan Amy, rakan kepada Ali masa kecil dulu pun berkata demikian. Seluruh penduduk kampung Ali tidak kira pangkat, darjat dan harta percaya Ali gila. Ali gila.

Tetapi tidak pada Rosmah. Rosmah percaya Ali tidak gila. Dia selalu mempertahankan Ali jika ada orang yang mengganggu Ali. Bila Ali sedang duduk seorang diri dia akan selalu dibaling batu dengan budak-budak nakal, Rosmah lah yang selalu selamatkan Ali.

“Jangan kacau Ali!, kenapa korang suka nyakat dia haa?!!”, sergah Normah dengan penuh semangat 1Malaysia.

“Sebab Ali GILA!!”, jerit budak-budak itu sebelum membuka langkah seribu sebab Normah dah pegang terompah Jimmy Choo miliknya untuk dibaling ke budak-budak itu.

Ali hanya termenung seperti biasa, seperti tiada apa yang berlaku disekitarnya.

Diceritakan oleh orang-orang lama disekitar kampung Ali mengenai kewujudan Ali bahawasanya Ali dilahirkan pada waktu istimewa. Ali dilahirkan pada waktu magrhib, hari sabtu, jam 7.00 malam. Pada waktu itu ibunya leka menonton sinetron Sin Chan di NTB7 dan perkara pertama yang dilihat oleh Ali apabila lahir adalah watak Sin Chan itu sendiri.

Ali membesar dengan perangai pelik. Dia suka menayang punggung sambil menari, kecil-kecil sudah pandai mengurat wanita dan bercakap dengan benda-benda selain dari manusia.

Sehinggalah Ali menjadi dewasa perangai pelik dia tidak berubah-ubah. Dan disebabkan itu juga penduduk kampung kata Ali gila. Ada juga yang percaya Ali terkena ‘badi’ Sin Chan pada masa kelahirannya.

Berbeza bagi Rosmah, dia tidak seperti penduduk kampung lain yang mengatakan Ali gila. Dia percaya Ali sebenarnya tidak gila. Setiap gerak-geri Ali seperti bercakap dengan batu, haiwan ataupun menconteng sana-sini bukanlah menunjukkan Ali gila, tetapi itu adalah ‘art’ katanya.

“Ali tak gila!, itu Cuma ekspresi dia untuk ‘art’”, terang Rosmah kepada sesiapa yang memanggil Ali gila.

Rosmah adalah lepasan jurusan seni di Universiti Nottingham, London. Sememangnya Rosmah adalah seorang yang mempunyai jiwa ‘art’ yang ‘true’ dan sebab itu juga dia percaya Ali tidak gila. Itu cara Ali menyampaikan seni dia.

Mak Rosmah dirumah tidak kisah akan perangai anaknya yang mempertahankan Ali. Dia percaya Rosmah ikhlas dalam perbuatannya. Rosmah seorang sahaja dikampung itu yang tinggi ilmunya dalam kesenian. Akan tetapi Mak Rosmah amat bimbang akan anaknya yang tidak kahwin lagi dek kerana nak ‘art’ sangat.

Disebabkan tidak mahu Rosmah menjadi andartu, Mak Rosmah terpaksa bertanya kepada Rosmah akan hal yang telah memeningkan kepala dia buat sedekad lamanya. Di suatu malam yang sepi dan berangin sepoi-sepoi bahasa, Mak Rosmah rasa inilah masa yang terbaik untuk dia bertanya kepada Rosmah.

“Sampai bila kau nak jadi macam ni Rosmah?”

“Jadi apa mak?” jawab Rosmah kehairanan.

“Jadi andartu la. Bila kau nak kahwin? Umur dah meningkat mak tengok”

“Calon takde lagi la mak. Macam mana mahu kahwin?”, terang Rosmah kepada maknya.

“Mak tengok kau dengan Ali macam serasi. Kau pun selalu mempertahankan dia dan kau sahaja yang faham dia. Kau kahwin je la dengan si Ali tu”, Mak Rosmah cuba memberikan konklusi yang bernas kepada anaknya.

“Rosmah tak nak la dengan si Ali tu!”

“Kenapa? Bukan kau selalu pertahankan dia ke? Mak tengok kau memang serasi dengan dia.”, Mak Rosmah cuba mendapatkan penjelasan dari anaknya yang terlebih ‘art’ itu.

“Kenapa? Kenapa mak tanya?, Rosmah tak nak kahwin dengan dia sebab ALI GILA!!”

Tergamam Mak Rosmah mendengar jawapan anaknya itu. Malam berlalu pergi. Sepi.

No comments: